Julai 1990
Hujan turun dengan lebat malam
itu. Kilat sabung-menyabung. Dentuman demi dentuman kedengaran. Wanita itu kian
cemas. Ditakuti bayi di dalam dakapannya itu terjaga dek bunyi tersebut. Namun
dia bersyukur, bayi itu masih tidak berganjak daripada tidurnya. ‘Tidurlah nak,
tidur. Janganlah kau bangun dari tidurmu. Kalau tidak, kita berdua tidak akan
selamat.’ Desis hatinya.
Wanita itu makin resah. Risau
memikirkan berapa lama lagi mereka perlu bersembunyi di ruang sempit itu. Namun
hatinya bersyukur kelegaan tatkala kedengaran azan subuh sayup-sayup
berkumandang. Hujan masih membasahi bumi Allah ini, walaupun turunnya tidaklah
sederas tadi.
Wanita itu nekad. Dia harus pergi
meninggalkan tempat itu, walaupun keselamatan mereka berdua menjadi taruhan.
Perlahan-lahan dia membuka almari pakaian yang menjadi tempat persembunyian
selama beberapa jam yang lepas. Ruang bilik tidur itu kelihatan suram. Dengan
langkah yang berhati-hati, dia mencapai tombol pintu bilik tidur dan membukanya
dengan penuh perasaan berjaga-jaga.
Apabila dia berjaya keluar dari
kamar tidur milik majikannya itu, sambil mendukung bayi tersebut, dia terus
mara ke pintu utama. Wanita itu tahu, dia perlu keluar dari tempat ini dengan
selamat. Mimpi ngeri ini tidak mungkin akan dilupakan sepanjang hidupnya. Tidak
mungkin!
Dia berlari sejauh yang mungkin.
Penat dan lenguh kakinya tidak dihiraukan. Bayi yang tadi lena tidurnya kini
menangis tanpa henti. Berbekalkan kain batik yang sudah sedia lencun akibat
terkena hujan, dia memayungkan bayi itu.
“Sabar ya sayang.” Masih sempat
dia memujuk bayi itu.
Hujan sudah reda. Tapi wanita itu
tidak boleh berhenti berjalan. Namun akibat berjam-jam dia berjalan, kakinya
sudah tak dapat menanggung kepedihan yang teramat. Bunyi hon kereta secara langsung
memberhentikan langkahnya. Dia kaku.