Sekarang: Johor Bharu, Malaysia
Tengku Aiman menghenyakkan tubuh
tinggi lampainya ke sofa. Dia mahu rehat sebentar sebelum menyambung kembali
pekerjaannya yang terganggu tadi. Ini semua gara-gara Intan! Bentak hatinya.
Dia menyesal pernah mengenali gadis ini. Disangkakan inilah bidadari yang
ditakdirkan untuknya, namun hati kecilnya kini berkata bukan. Semenjak menjalin
pertunangan dengan gadis yang bernama Intan, hidupnya tidak pernah tenteram. Ada
saja karenah Intan yang membuatkannya panas hati.
Sebentar tadi, Intan baru sahaja
menuduhnya menjalinkan hubungan dengan Aida, setiausaha yang dianggap seperti
kakaknya itu sendiri. Lagi memalukan, apabila Intan tanpa segan silu memaki
Aida di depan lembaga pengarah yang lain semasa mesyuarat tahunan sedang
dijalankan. Tanpa berlengah, pantas dia menarik Intan keluar dari bilik
mesyuarat masuk ke ruang pejabatnya. Maka berlangsunglah pertikaman lidah entah
buat kali ke berapa pun dia dah tak ingat.
Tengku Aiman merenung siling.
Adakah dia sudah tersalah pilih? Dia tidak punya jawapan akan persoalan itu.
Dia merasakan hidupnya kini bertambah kosong. Dia tidak punya sesiapa pun untuk
mengadu. Ibu bapa? Sudah lama mereka meninggal dunia. Adik-beradik? Tidak ada.
Dia anak tunggal. Sahabat-handai? Ada tapi hampir kesemuanya berkawan dengannya
atas dasar business dan duit. Saudara-mara? Ada tapi sekarang mereka sekeluarga
sedang bercuti di London.
Tengku Hassan merupakan
satu-satunya adik kepada arwah ayahnya. Hasil perkahwinan Tengku Hassan dengan
Aimina, lahirlah Tengku Syamil dan Tengku Armila. Sudah 5 tahun dia tidak
ketemu dengan kedua-dua sepupunya itu dengan alasan sibuk menguruskan urusan
pejabat. Ditambah pula kedua-duanya belajar di London. Disebabkan itu, hubungan
mereka agak renggang namun sekali sekala ada juga mereka bertukar mesej di
telefon.
Percutian Tengku Hassan dan
isterinya ke London ini sebenarnya untuk menghadiri majlis konvokesyen pasangan
kembar tersebut. Setahunya, majlis itu akan berlansung esok petang. Tengku
Aiman lantas mencatat nota di dalam diarinya. Takut dirinya terlupa untuk
mengucapkan tahniah. Dia sudah menganggap Syamil dan Armila seperti adik
kandungnya sendiri. Hanya itu yang mampu
dilakukan sebagai seorang abang.
Aiman terus bangun dan
membetulkan bajunya. Dia mengerling jam di dinding. Masih ada satu jam sebelum
mesyuarat di sambung semula. Terus dia mengambil wuduk dan menunaikan solat
Zohor. Hanya dengan menunaikan solat dan berdoa, hatinya akan tenang. Usai
solat, dia melangkah kaki ke Café yang terletak betul-betul di sebelah
pejabatnya. Termasuk hari ini, sudah hampir seminggu dia berkunjung ke Café
ini.
“Selamat datang ke Honey Caffee.
Boleh saya ambil order encik?” dengan penuh tata tertib, gadis itu bersuara.
Aiman merenung gadis kacukan di
hadapannya ini. Gadis ini sungguh cantik, ditambah pula dengan hiasan tudung di
kepala. Ada sesuatu yang misteri mengenai gadis ini. Sebenarnya, tujuan asal
dia kerap berkunjung ke sini adalah untuk bertemu dengan gadis yang masih belum
diketahui namanya ini.
Arissa membalas renungan jejaka
di hadapannya. Dia serba salah. ‘Dia ni tak reti cakap melayu ke?’
“Welcome to Honey Caffee. Can I
take your order?” Arissa mengulang ayat yang sama tapi dalam bahasa Inggeris. Takut
juga pelanggan dihadapannya ini merupakan pelancong luar negara. Muka dah macam
ala-ala David Becham masa muda pun ada jugak!
Aiman tersenyum. Ini sudah
menjadi perkara normal baginya. Ramai yang salah mengerti bahawa dia adalah
bukan warganegara Malaysia disebabkan raut wajahnya yang memang tiada iras
orang melayu walau seinci pun.
“Yes please. Ermmm, can I have
ice coffee latte and cream on top?”
“Of course. Do you want anything
else?”
“A slice of carrot cake. That’s
all.”
“Eat here or take out?”
“Eat here.”
“Noted. I’ll be bringing your
order in 5 minutes.”
Dengan pantas dan cekap, Arissa
menyerahkan order kepada barista yang bertugas pada hari itu. Aiman masih
berdiri tegak di kaunter. Arissa serba salah. Nasib baik pelanggan tak ramai.
Kebiasaannya, ramai yang beratur tapi tidak hari ini.
“Please have a sit, sir.”
“Allright.” Aiman ingin beredar
tetapi dia berhenti dan kembali melangkah ke kaunter.
“Just a quick question. Are you
originally from this country? Because you seem a bit different.”
Arissa tergamam. Ini bukannya
persoalan baru buatnya namun dia pelik. Kenapa lelaki ini nak tahu?
“Yes, I am. I was born here.”
Jawabnya sekadar untuk memenuhi tuntutan pelanggan tercinta.
Aiman mengangguk. Dia ingin
bertanya lagi namun suara pelayan yang lain mematikan niatnya.
“Order number 8!”
Aiman mengangkat dulang yang
berisi ice caffe latte dan sepotong carrot cake ke bahagian tempat duduk. Dia
perlu cepat kerana mesyuarat bakal bermula sekejap lagi. Dia tidak mahu lewat
kerana itu bukan prinsipnya.
Arissa memerhatikan langkah
lelaki itu beredar ke tempat duduk. Namun sekejap cuma kerana beberapa
pelanggan datang dan dia bertanggungjawab mengambil order tersebut. Sempat
Arissa mengerling lelaki tadi.
Dia perasan lelaki itu sudah
seminggu berkunjung ke sini. Muka kacak sepertinya tidak mungkin dapat
dilupakan sekiranya dilihat berulang kali.
Jam menunjukkan tepat pukul 6
petang. Arissa ke belakang untuk mengemas mana yang patut. Shif kerjanya sudah
tamat. Sesudah menanda tangan waktu keluar, dia bergegas ke masjid berdekatan
untuk menunaikan solat Asar. Kebiasaannya, selepas solat Asar, dia akan membaca
Al-Quran sementara menunggu waktu solat Magrib. Selepas itu, destinasinya
adalah ke pusat tuisyen untuk melaksanakan pekerjaan keduanya, iaitu sebagai guru
tuisyen.
Arissa sampai di rumah pada pukul
10.30 malam. Itu adalah normal bagi dirinya dan seisi keluarga.
“Assalamualaikum, ibu.”
“Waalaikummussalam.” Kedengaran
suara dari dalam rumah.
“Arissa dah balik, ibu.”
Aziyan membuka pintu lalu
tersenyum. Makin tambah sayang terhadap Arissa tatkala gadis itu mencapai
tangannya lalu mengucupnya. Mereka berdua masuk ke dalam rumah yang serba
sederhana itu.
Tak tahu kenapa, Arissa merasakan
dirinya sangat penat hari ini. Mungkin cuaca yang agak panas dan kering mengganggu
emosinya.
“Ibu, Arissa masuk dulu tau. Nak
rehat.” Ujarnya lemah.
Aziyan mengangguk tanda faham
akan keadaan gadis itu. Gadis itu bertungkus-lumus bekerja daripada pagi sampai
ke petang. Dia dan suami bukannya tidak mampu menanggung makan minum gadis itu
tetapi sebaik sahaja tamat pengajian ijazah, Arissa terus berkerja di Honey
Caffee. Seminggu kemudian, Arissa memberitahu dia diterima bekerja sebagai guru
tuisyen pula. Penat dia dan suami memujuk Arissa supaya memilih salah satu
kerja itu namun Arissa memberi alasan dia mahu mengumpul duit perbelanjaan.
Sejak itu, dia dan suami tidak masuk campur urusan Arissa.
Tanpa menyalin pakaiannya, Arissa
terus baring di atas katil bujang miliknya. Kemudian dia bangun semula dan
mengambil sekeping gambar di dalam kotak peribadinya. Dia kembali berbaring
sambil merenung gambar lama itu.
Memang ada iras!